Saturday 19 April 2014

AMWAY PENERAJU JUALAN LANGSUNG

AMWAY (Malaysia) Holdings Berhad (AMHB) (RM8.70) merupakan syarikat induk kepada Amway (Malaysia) dan Amway (Brunei), yang mana kedua-dua syarikat ini mengedar barangan pengguna jenama Amway di Malaysia dan Brunei.

Produk Amway diperkenalkan kepada Malaysia pada tahun 1976. Sejak itu, AMHB telah berkembang menjadi salah satu daripada peneraju dalam jualan langsung pelbagai peringkat (multi-level direct selling) di negara ini dengan bahagian pasaran yang dijangka sebanyak 20 peratus.


Di samping itu, ia juga mempunyai 123,000 ejen pengedar dan jualannya melebihi RM352 juta. Amway Asia Pacific memiliki 51% kepentingan ekuiti AMHB, Wan Azmi Wan Hamzah (16%) dan Fidelity Investment Fund (7.2%).


Kekuatan dan tinjauan.


* Kekukuhan pendapatan.

Kami menjangka Amway akan meneruskan prestasi yang kukuh hasil daripada pemulihan jualan, keuntungan yang diperbaiki, pulangan pendapatan yang tinggi dan pengurusan yang mantap. Satu belian jangka panjang.

Perniagaan Amway adalah mantap pada masa kelembapan ekonomi yang lepas. Sebagai contoh, semasa berlakunya kegawatan ekonomi pada tahun 1997, jualan dan keuntungan Amway bercorak mendatar dan apabila kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi perlahan pada tahun 1992, jualan Amway meningkat sebanyak 22 peratus dan keuntungannya bertambah sebanyak 41 peratus (dengan kapasiti yang lebih rendah berbanding masa kini).

Kekukuhan Amway adalah hasil daripada tiga faktor utama iaitu:
  • Majoriti daripada produk Amway bercirikan barangan pengguna yang tidak banyak terjejas akibat daripada kegawatan ekonomi.
  • Strategi syarikat adalah menambahkan jualan dan keuntungan melalui pengenalan produk baru dan pengubahsuaian produk sedia ada secara sistematik, serta menumpu perhatian kepada jualan produk yang harganya kurang terdedah kepada tukaran asing tetapi bernilai tinggi seperti barangan kosmetik dan barangan berkhasiat.
  • Dalam masa kegawatan ekonomi, kesan terhadap pendapatan telah diimbangi oleh pertumbuhan pesat dalam tenaga ejen pengedar.
* Pengurusan yang baik.

Amway dibimbing oleh pihak pengurusan yang terbukti berkesan semasa negara kita mengalami situasi ekonomi yang buruk. Pujian harus diberi kepada pihak pengurusan yang telah membimbing Amway sepanjang tempoh kegawatan ekonomi melalui daya inovatif dan strategi berpandangan jauhnya dan membentuk satu tapak yang kukuh supaya Amway menjadi lebih kuat selepas tempoh kegawatan ekonomi.

* Sentimen pengguna yang telah dipulihkan.

Kesan kekayaan daripada pasaran saham dan pertambahan peluang pekerjaan sejak beberapa bulan yang lepas telah memperbaiki sentimen pengguna. Jualan syarikat melantun kukuh sejak Mac lalu. Ia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dalam suku tahun ketiga berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

* Ejen pengedar berkembang pada kadar dua angka.

Pertambahan ejen pengedar pada kadar dua angka antara bulan Januari hingga Mac mencerminkan kekuatan pengurusan syarikat. Selain membawa masuk ejen pengedar baru, Amway juga berjaya mengekalkan sebahagian besar daripada ejen pengedar yang sedia ada melalui skim insentif yang lebih baik, dan ini seterusnya memupuk hubungan yang mesra dengan ejen pengedar.

* Kunci kira-kira yang kukuh.

Masalah hutang tidak pernah menjadi isu dalam syarikat ini walaupun dalam masa kelembapan ekonomi kerana kebanyakan urus niaga dijalankan dengan menggunakan tunai. Dengan pegangan tunai sebanyak RM200 juta dan tiada pinjaman dibuat, para pelabur dijangka akan memperoleh kadar dividen yang menarik pada masa akan datang.

* Tahap keuntungan sedang diperbaiki.

Sejajar dengan seruan kerajaan supaya syarikat-syarikat jualan langsung lebih menggunakan sumber-sumber tempatan, Amway telah mula melakukan proses pembungkusan untuk beberapa produk tertentu di negara ini untuk menjimatkan kos dan memperbaiki kadar keuntungannya. Sebenarnya Amway telah mengeluarkan produk buatan Malaysia iaitu ALLANO Family Talcum Powder. Ini diikuti oleh syampu dan beberapa produk yang lain yang mana bahan-bahan mentah tempatan digunakan tanpa menjejaskan kualiti produk. Langkah itu akan dapat menjimatkan kos dan memperbaiki keuntungan dalam jangka panjang.

* Perolehan lesen tidak menjadi masalah.

Amway merupakan syarikat jualan langsung yang pertama di Malaysia dibenarkan untuk membaharui lesen sebanyak tiga tahun (sebelum ini hanya pembaharuan tahunan dibenarkan). Ini telah mengukuhkan lagi kedudukan Amway sebagai peneraju dalam jualan langsung dan menghancurkan segala khabar angin yang menyatakan bahawa Amway mungkin kehilangan lesennya atas sebab tidak mematuhi peraturan untuk mengeluarkan produk yang berunsur tempatan sebanyak 80 peratus menjelang Januari 2000.



No comments: